Mak
pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut
membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang,
baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju
itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium
baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh
abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mandikan
jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan
abah dan mak yang menjiruskan air buat kali terakhir pada tubuh kecil
abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya
tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan
sasanya.
"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terakhir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun
hanya kami berdua juga. Biar tangan kami saja yang memakai dan
membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. Tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali
terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah
menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali
terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi
abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak kat syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali
terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa
abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang.
Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang.
Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak
uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata pun air mata
akak tak jatuh ke pipi?! Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan
mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak
lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat
memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu???
Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir
tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian,
mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.
Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang
berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.
Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit
usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.
Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan
derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum
abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak
cari-cari.
Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak
akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak
tidak menangis, sayang.
----------